Joined: Sep 21, 2005 Posts: 290 Location: Kota Kinabalu
Posted: Wed May 07, 2008 1:08 pm Post subject: Kes culik dan rogol pelajar UMS
Polis selesai kes culik, rogol pelajar UMS
KOTA KINABALU 22 April - Polis telah menyiapkan sepenuhnya laporan siasatan kes culik dan rogol seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pada masa ini polis sedang menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek di mahkamah.
"Kedua-dua suspek akan didakwa di mahkamah Khamis ini sebaik sahaja mendapat lampu hijau daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Laporan lengkap mengenai kes penculikan ini telah siap dan polis sedang menyiasat sama ada suspek terlibat dalam kes lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kedua-dua suspek kes culik dan rogol terbabit yang berusia 20 dan 29 tahun ditahan berasingan di Tambunan.
Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam 15 April lalu, sewaktu penuntut universiti tersebut yang berusia 21 tahun dan berasal dari Sibu, Sarawak baru tiba di rumahnya di Taman King Fisher.
Mangsa yang dikatakan berjalan ke sebuah pasar raya berdekatan tiba-tiba ditarik oleh suspek ke dalam kereta sebelum dilarikan ke Tambunan.
Suspek pertama ditahan di Tambunan pada hari kejadian manakala suspek kedua ditahan dua hari kemudian ketika menaiki bas mini berhampiran Kelab Golf Tambunan.
2 pemuda culik, rogol pelajar dipenjara, sebat
KOTA KINABALU 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua pemuda, masing-masing 28 dan 29 tahun tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan jenayah kekerasan termasuk menculik dan merogol seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Rompon, Tambunan, pada 15 April lalu.
Pada perbicaraan di dua mahkamah berasingan itu, kedua-dua mereka iaitu Mohd. Ariffin Bidin, 29, dari Kampung Tarap, Bongawan dan rakannya, Mohd. Sahrizal Suhaili, 21, dari Kampung Pirasan, Kota Belud turut dikenakan sebatan masing-masing 25 dan 20 kali.
Di Mahkamah Sesyen, Mohd. Ariffin didakwa bersama Mohd. Sahrizal menyebabkan cedera parah terhadap mangsa yang berusia 21 tahun antara pukul 6.50 petang, 15 April dan pukul 5 pagi, 16 April lalu di bulatan King Fisher, Jalan Bangka-Bangka, di sini.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama itu, dia dikenakan penjara lima tahun penjara dan sebatan lima kali.
Bagi pertuduhan kedua, dia bersama Mohd. Sahrizal dituduh di bawah Seksyen 365 KK iaitu menculik dan dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM1,000 atau penjara lima bulan.
Pertuduhan ketiga pula Mohd. Ariffin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) KK iaitu merogol mangsa dan dikenakan hukuman penjara 23 tahun dan sebatan 10 kali.
Bagi kesalahan keempat, dia sekali lagi didakwa merogol mangsa antara pukul 2 pagi dan 4 pagi, 16 April lalu, di suatu tempat di Jalan Lama dari Kota Kinabalu ke Tambunan dan dikenakan hukuman penjara 23 tahun dan sebatan 10 kali.
Hakim Duncan Sikodol pada perbicaraan itu memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap Mohd. Ariffin dan Mohd. Sahrizal berjalan serentak selepas menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret.
Sementara, Mohd. Sahrizal turut didakwa melakukan empat kesalahan di mahkamah yang sama iaitu bersama Mohd. Ariffin menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa dan menculik. Bagi dua kesalahan itu, dia dipenjara 10 tahun dan sebatan lima kali serta denda RM1,000.
Bagi kesalahan lain, dia yang didakwa merogol mangsa di tempat yang sama dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali.
Mohd. Sahrizal turut didakwa melakukan kesalahan keempat iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa. Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 377C KK itu, dia dipenjara 15 tahun penjara dan sebatan lima kali.
Mohd. Sharizal, yang tidak bekerja dan Mohd. Ariffin yang merupakan mekanik sambilan dan penjual ikan di Pasar Bongawan kelihatan terkejut apabila hukuman tersebut dibacakan.
Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam semasa ditanya Duncan mengapa sanggup melakukan jenayah seperti itu memberitahu mereka dipengaruhi oleh minuman keras dan syabu.
''Adakah arak dan syabu mempengaruhi kamu berbuat begini? Mengapa pula arak dan syabu tidak suruh kamu terjun sahaja dari bangunan,'' kata Duncan selepas mereka mengakui gagal mengawal hawa nafsu kerana pengaruh minuman keras dan dadah.
Terdahulu pada sebelah pagi, kedua-dua mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas tiga kesalahan iaitu mencuri tiga buah kereta Perodua Kancil di tiga tempat berasingan.
Mohd. Sahrizal dan Mohd, Ariffin didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 379A KK iaitu mencuri dua buah kereta di Jalan Sepanggar dan di Kota Kinabalu.
Bagi kesalahan dua kesalahan ini, Majistret Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun dan denda RM10,000.
Sementara Mohd. Ariffin didakwa melakukan kesalahan ketiga iaitu mencuri sebuah lagi kereta Perodua Kancil di Inanam dan dikenakan hukuman penjara 15 bulan serta denda RM5,000 dan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suhaimi Ibrahim dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
You cannot post new topics in this forum You cannot reply to topics in this forum You cannot edit your posts in this forum You cannot delete your posts in this forum You cannot vote in polls in this forum